Monday 16 September 2013

16 September 1963: Penubuhan MALAYSIA

Tarikh 16 September 1963 adalah tarikh yang kita semua pasti ingat di mana tertubuhnya sebuah negara MALAYSIA selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1057. Betapa susah & berliku-liku laluan para pemimpin negara yang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan & menubuhkan sebuah negara yang merdeka & berdaulat!~ 

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.


Alhamdulillah, saya masih boleh bernafas di bumi Malaysia ini dan semoga segala keamanan & keindahan Malaysia terus berkekalan sampai bila-bila atat berkat usaha pemimpin-pemimpin terdahulu dalam menubuhkan sebuah negara merdeka dan berdaulat. Hargailah mereka dan contohilah kepimpinan mereka supaya akan menjadi lebih baik. Semoga Malaysia sentiasa aman dan terus maju di bawah kepimpinan sekarang.

Walaupun ada beberapa kepincangan dalam konteks kepimpinan itu sendiri, marilah kita berdoa supaya semuanya akan pulih & semoga Malaysia akan terus dilimpahi dengan keberkatan & kemajuan yang sememangnya memberi manfaat kepada rakyatnya sendiri, in shaa Allah.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...